About Me

My photo
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ “Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari segala syaitan, binatang yang berbisa dan pandangan mata yang jahat.” Blog ni saya jadikan sebagai catatan perkara menarik yang berlaku dalam aktiviti harian saya. Kebanyakan gambar dan maklumat adalah hak milik saya sendiri. Mana yang baik jadikan teladan, buruk jadikan sempadan.

Wednesday, February 29, 2012

HAIKU


Mungkin ramai yang tak tahu tentang 'Haiku'. Saya mula mengenali haiku, 5 tahun lepas. Itupun disebabkan tertarik dengan lukisan haiku yang dipaparkan dalam surat khabar ruangan Didik tentang pertandingan haiku sekolah-sekolah. Walaupun masa tu tak mendalami tentang haiku, tapi saya adaptasikannya menjadikan satu aktiviti dalam Minggu Panitia Bahasa Malaysia. Kami lakukan haiku peribahasa.

Baru-baru ni, saya menerima surat tentang pertandingan haiku peringkat sekolah. Ini kali pertama sekolah menerima surat dan borang penyertaan menyertai pertandingan haiku. Oleh kerana perlu memilih murid untuk menyertai pertandingan ini, dan perlu bimbing murid bagaimana nak hasilkan haiku, saya pun mencari maklumat tentang haiku ni. Bila dah tahu, rupa-rupanya haiku ni sangat menarik. Ia boleh dikatakan sebagai gabungan puisi dan kata-kata hikmah.



Haiku merupakan bentuk puisi Jepun, dan memang ia berasal daripada negara matahari terbit tu. Haiku merupakan luahan perasaan atau tanggapan (impression) tentang sesuatu benda, alam sekitar, keadaan atau suasana.

Penciptaan istilah haiku datang sebahagian besarnya melalui usaha Masaoka Shiki, yang memulakan reformasi gaya puisi ini pada tahun 1892.Ia ditubuhkan sebagai satu bentuk baru yang akan ditulis, dibaca dan difahami sebagai puisi bebas, lengkap dalam sendiri.

Haiku boleh menjadi kira-kira hampir semua benda, dan kebanyakannya adalah mengenai perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan, setiap hari. Haiku cenderung untuk menjadi sebuah sajak di mana penyair memilih untuk memikirkan unsur-unsur dan objek dalam alam serta pengalaman satu muka melalui kehidupan seharian. Pengalaman, sifat, atau perasaan adalah tema yang sama yang dimasukkan ke dalam Haiku.

Haiku
biasanya dibuat dengan kata-kata dan tatabahasa yang agak mudah. Bentuk yang paling biasa Haiku terdiri dari tiga barisan puisi. Baris pertama biasanya dihasilkan dengan lima suku kata. Baris kedua biasanya terdiri daripada tujuh suku kata, manakala barisan yang lepas, atau ketiga, terdiri daripada lima suku kata lagi. Jadi, struktur Haiku 1 akan menjadi "5,7,5", berdasarkan bilangan suku kata setiap baris.



Haiku lebih tertumpu pada matlamat mewujudkan imej berdasarkan kata-kata puisi. Melalui Haiku, pembaca akan membayangkan imej tertentu selepas membacanya. Ini adalah kerana Haiku menggunakan teknik peranti syair yang dipanggil imej. Haiku mewujudkan imej atau gambar ke dalam minda seseorang, dengan hanya 17 suku kata. Melalui tiga baris ayat, penyair cuba untuk mencipta gambaran kepada pembaca.

Haiku selalunya ditulis atau ditaip di atas kertas dengan imej atau gambar yang mewakili maksud utama haiku tersebut.
Macam 'winter haiku' kat atas tu....lucukan.

Jadi, kalau ada sesiapa yang nak mencuba mencipta haiku, anda mestilah boleh ekspresikan keadaan atau sesuatu menggunakan perkataan 5,7,5 dan perlu ada kemahiran melukis supaya gambaran haiku anda dapat difahami pembaca.

Cubaan haiku pertama saya.....

Bosan menunggu
Hujan semakin lebat
Rasa nak tidur

Sunday, February 26, 2012

BOOKWORM UPDATE

MESYUARAT AGUNG PIBG SKMC SESI 2012 DAN PELANTIKAN PENGAWAS

SKMC mengadakan Mesyuarat Agung PIBG yang ke-40 hari ini. Sambutan ibu bapa kurang memuaskan. Mungkin masih ramai yang tidak sedar bahawa mesyuarat PIBG merupakan agenda penting yang mewujudkan hubungan dan kerjasama antara pihak sekolah dan ibu bapa dalam membincangkan masalah-masalah berkaitan anak-anak mereka.

Mesyuarat ini juga merupakan satu platform untuk pihak sekolah menjelaskan masalah-masalah dan kekangan yang dihadapi oleh mereka dan mewujudkan perasaan saling memahami bahawa semua pihak mahukan anak-anak ini berjaya. Seharusnya semua ibu bapa hadir dan bukan hanya memberi komen dikemudian hari jika berlaku ketidakpuasan hati terhadap perkhidmatan sekolah. Ini sekadar pandangan saya sebagai seorang guru yang nampak bahawa ada sesetengah (bukan semua..) ibu bapa yang menyerahkan 100% pendidikan anak-anak mereka kepada pihak sekolah dan tidak ambil peduli tentang hal-hal lain. Sebaliknya, jika berlaku masalah, mereka hanya tahu menunding jari dan menyalahkan pihak sekolah sahaja.....renungkanlah...



Namun begitu, tahniah kepada semua ibu bapa yang hadir. Mesyuarat tahun ini diakhiri dengan acara cabutan bertuah serta pelantikan pengawas dan pengawas pusat sumber sekolah.

Monday, February 20, 2012

PUSAT SAINS NEGARA BUKIT KIARA

Hari ini saya mengunjungi Pusat Sains Negara di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Bangunan ini sangat unik kerana bentuknya menyerupai bola golf. Pusat Sains ini telah dirasmikan pada 29 November 1996 oleh Tun Dr Mahathir.

Kebetulan hari ini masih ada pameran 'Actroid: The First Interactive Robot In Malaysia'. 'The Actroid' yang dipamerkan ini sangat istimewa dan dihasilkan oleh Kokoro Company Limited dari Tokyo Jepun. Actroid ni boleh berinteraksi dengan orang ramai menggunakan mikrofon yang diletakkan di hadapannya. Menarik sangat kerana ia boleh bertindak balas dan menjawab percakapan kita. Selain tu, ada juga Mini Animatronic Robopets yang terdiri daripada robot binatang seperti beruang koala, kucing dan ada juga watak R2D2.




Inilah The Actroid yang boleh berinteraksi tu. Tapi bukanlah macam manusia betul, cuma telah diprogramkan sahaja. Antara perkataan yang dikatakan: "Hai, marilah bergambar dengan saya. Comelnya awak. Cantik tak saya."

Ini muka actroid yang belum letak kulit lagi. Menakutkan. Kat sini juga ada dipamerkan bagaimana bahagian-bahagian badan actroid ni dibuat. Kulit actroid ni diperbuat daripada silikon dan ukurannya dibuat dengan acuan badan manusia. Silikon ni lembut apabila disentuh.
Wah...hebatnya teknologi Jepun hasilkan robot, kan.



Di sini juga banyak eksperimen dan benda-benda yang membolehkan pengunjung mencuba sendiri.

Tempat ni merupakan ruangan menghasilkan muzik. Kat depan saya tu alat yang diperbuat daripada kayu seperti xylophone.. yang ketuk2 ada bunyi tu...Ada juga piano besar dan boleh main pijak2 atas lantai..

 

Sempat juga bergambar dilaluan masuk yang ada akuarium ikan. Kebetulan pula waktu ikan-ikan tu diberi makanan oleh seorang penyelam. Tapi tak tangkap pulak gambar penyelam tu..
Kalau berminat nak tahu tentang sains, datanglah ke sini.Masuk cuma RM 6 sahaja untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak. Mahal sikit hari ni sebab ada pameran actroid.

Monday, February 6, 2012

SAMBUTAN MAULIDURRASUL 1433 H

Selawat dan salam ke atasmu wahai Rasulullah SAW. Hari ini kami menyambut ulang tahun keputeraanmu wahai Rasulullah. 
‘Ya Allah Ya Tuhanku, perbaikkanlah kejadianku dan akhlakku’ Amin


Sunday, January 29, 2012

POWER SOUP YUMMY....

Sekali-sekala buat power soup untuk tambah sayuran dalam makanan. Satu hidangan power soup ni hanya 90 kalori sahaja dan ia mengenyangkan. Ada banyak resepi power soup, tapi yang ini saya rasa paling senang dan sedap. Tepuk dada, tanya selera...lain orang, lain
citarasanya...
Bahan:
1 sudu minyak zaitun
2 cwn lobak merah (potong2)
1 cwn seleri (potong2)
1 cwn leek (potong2)
1 bj bawang (potong2)
1 sudu halia (cincang)
sedikit daun parsley
2 ulas bawang putih (cincang)
1/4 cwn cendawan shitake (potong2)
4cawan air
garam dan lada hitam (perasa)

Cara:
1.Saute lobak, seleri, leek,bawang, halia, bawang putih selama 10 minit (api sederhana).
2.Masukkan shitake, parsley dan air. Masukkan garam dan lada hitam secukupnya. Didihkan. Kecilkan api biar 20 minit.

p/s: Boleh tukar macam2 sayur yang lain. Paling best kalau masukkan tomato. Kalau tak suka bawang putih, takyah masukkan. Tak nak saute dengan minyak zaitun pun ok, tapi macam rebus sayur je la..

Thursday, January 26, 2012

HAPPY BIRTHDAY YAYA....

25 Januari 2012 merupakan hari lahir Nur Amirah (Yaya). Kami sambut hari lahir Yaya di Jaya Jusco Seremban 2, hari ini. Mak Ngah hadiahkan Yaya baju untuk dipakai semasa birthday party kat rumah Yaya nanti dan kami semua makan di Restoran Secret Recipe.

Yaya, Aliyah dan Aisyah order mi tom yam sup kat Restoran Secret Recipe tetapi terlalu pedas dan minum air banyak-banyak. Mak Ngah dah suruh share tapi tak nak. Akhirnya, hanya nasi dan Chicken Grilled Black Paper Mak Ngah jugak yang habis korang makan.


Yaya dan Aliyah tengah syok naik bot permainan. Sempat jugak kakak dan Yaya tangkap gambar di ruang legar Jusco yang telah dihias sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Masa ni Aliyah tengah merajuk, jadi dia tak mahu ambil gambar. Isy... isy...isy...jangan suka merajuk...


Happy birthday to you...happy birthday to you...
Happy birthday dear Yaya....happy birthday to you.....
Semoga bergembira...

Daripada : Mak Ngah.

Monday, January 23, 2012

KISAH MANUSIA BAIK HATI


Saya membaca sebuah artikel menarik dalam Reader's Digest keluaran Januari 2012 bertajuk 'On The Line'-by Mitch Lipka : inspiration story from New York. Cerita ini tentang sikap berani dan baik hati seorang lelaki yang telah membantu seorang wanita yang tidak dikenalinya. Kisah ini bermula dengan seorang wanita bernama Lisa Donath.

Lisa menggunakan kemudahan keretapi bawah tanah 'subway' di Manhattan's Washington Heights untuk ke tempat kerjanya. Pagi itu dia tergesa-gesa kerana banyak kerja yang perlu diselesaikan. Semasa menuruni tangga, Lisa sudah merasa tidak sihat dan terasa seperti hendak pitam. Dia terfikir bahawa ini mungkin disebabkan dia telah menderma darahnya malam semalam. Setelah sampai di platform, dia bersandar pada sebatang tiang berhampiran landasan.


Tidak jauh dari situ, Ismael "Mel" Feneque dan teman wanitanya juga sedang menunggu keretapi. Tiba-tiba mereka terdengar jeritan
"Oh my God, she fell in."
Tanpa berlengah lagi, Feneque melompat ke atas landasan untuk menyelamatkan seorang wanita yang tertiarap di atas landasan tersebut.

Pada masa yang sama terdapat sebuah keretapi yang menuju ke stesen itu daripada terowong tersebut.
Feneque dengan segera mengangkat Lisa Donath dan menaikkannya ke atas platform yang berketinggian 1.2 meter dengan bantuan orang ramai yang ada di atas platform tersebut. Kemudian, Feneque membantu seorang seorang lelaki dan seorang remaja yang turut terjun untuk membantunya di atas landasan. Feneque kemudiannya memanjat naik dari landasan ke atas platform untuk menyelamatkan dirinya menggunakan saki baki tenaga yang ada pada dirinya sesaat sebelum keretapi bawah tanah itu lalu dan berhenti di sebelahnya.

Lisa Donath menjalani rawatan dan pembedahan ke atas kecederaan pada soket matanya, tulang rahangnya patah dan luka-luka pada bahagian kepalanya kesan daripada hentakan pada rel keretapi. Setelah pulih, dia cuba mencari lelaki yang menyelamatkannya. Setelah beberapa kali berusaha, akhirnya Lisa Donath berjumpa dengan Feneque dan mengucapkan terima kasih.

Kata-kata yang dipetik daripada artikel :

"Feneque says there's no point in wondering why he was on the platform- at a different time from when he usually rides and at a station a considerable distance from his apartment- at the moment Donath needed help. "Whether it was pure coincidence or sent from above, who's to say? All I know is I was there and I'd do it again,"he says."

Quotes to share:
Heroism feels and never reasons and is therefore always right.

- Ralph Waldo Emerson

True heroism is remarkably sober, very undramatic. It is not the urge to surpass all others at whatever cost, but the urge to serve others at whatever cost.
- Arthur Ashe

MANDI KOLAM


Harras dan Hadif sedang seronok mandi kolam. Walaupun dah 3 hari Harras ajak semua orang pergi mandi di Ulu Bendul, tapi takde siapa yang nak bawa. Kesian...dapat mandi dalam kolam kecil kat rumah atuk ngan opah pun jadilah. Seronoknya sampai tak mahu keluar. Nampaknya Harras lebih besar daripada kolam..he..he..

Thursday, January 19, 2012

KERANA PULUT SANTAN BINASA, KERANA MULUT BADAN BINASA


Pernah dengar pepatah melayu kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa? Terasa nak ulas tentang pepatah ni dalam blog saya kerana terlalu banyak manusia yang masih tidak dapat mengambil pengajaran melalui maksud pepatah ini. Bila saya 'search' pepatah ni di internet, rupa-rupanya sudah ramai orang memperkatakan tentangnya.
Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa perkataan atau perbualan kita juga boleh menyakitkan hati atau menyinggung orang lain. Kita mestilah berhati-hati dalam percakapan sehari-harian. Oleh itu, jika khuatir kita akan mengeluarkan perkataan tidak baik, lebih baik kita berdiam diri. Ini bagi mengelakkan diri daripada menanggung dosa dan bagi mengelakkan orang lain terasa hati. Jika kita sudah mengeluarkan kata-kata yang tidak disenangi orang lain, tentu sukar untuk kita menariknya balik. Lebih buruk lagi jika orang lain silap mendengarnya.


Berkata-kata buruk tentang orang lain dikatakan menyebarkan fitnah. Fitnah boleh berlaku disebabkan pertandingan mendapatkan kuasa, pangkat, menjatuhkan orang lain dan kekayaan. Apa yang disebarkan untuk memburuk-burukkan individu atau kumpulan kerana perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan layak dibandingkan dengan orang lain. Dosa fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, ia tidak diampunkan Allah melainkan orang yang difitnah memberi keampunan. Tentu sukar untuk mengakui kesalahan sendiri dan memohon keampunan daripada orang lain. Dosa fitnah juga menghalang seseorang itu untuk masuk ke dalam syurga. Rasulullah bersabda: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah”, hadis riwayat Bukhari dan Muslim. (halaqah.net)

Apakah di antara kesan tidak menjaga tutur kata ?
1-Fakta yang tidak betul dan menanggung dosa
2-Perkataan tersebut menyebabkan saudara Muslim berkecil hati
3-Ukhuwah di kalangan umat Islam tercalar
4-Menyukarkan usahasama dalam kalangan umat Islam
5-Fitnah boleh menyebabkan perpecahan dan huru-hara
6-Nilai peradaban di kalangan umat Islam terkikis dan akan menyebar luaskan dosa dalam kalangan umat Islam
7-Kejayaan dan kegembiraan di pihak musuh (artikel iluvislam.com)


Quote to share:

A cynic can chill and dishearten with a simple word
-Ralph Waldo Emerson


Thursday, January 12, 2012

BUKAN KITA SEORANG SAHAJA YANG DIUJI, BERSABARLAH...


Doa supaya dilapangkan hati:

"Ya Allah, lapangkanlah dengan Al-Qur'an hati kami, mudahkan urusan kami, tinggikan pahala kami, cantikkan akhlak kami, terangi hati kami dan terangi pula dengannya kubur kami, Wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam"

Rasulullah s.a.w. juga bersabda: "Sesungguhnya, jika Allah s.w.t. mencintai sesuatu kaum, maka mereka akan diuji. Andainya mereka redha dengan ujian tersebut, maka baginya keredhaan Allah s.w.t.

Maka, ketika diuji dengan musibah, seseorang hamba dapat meningkatkan darjatnya di sisi Allah s.w.t. dengan kesabarannya, di mana setiap kali dia sabar dalam ujian, maka setingkat demi setingkat darjatnya semakin meningkat di sisi Allah s.w.t., di samping mendapat keredhaan Allah s.w.t. dengan izin-Nya..

Setiap orang, berbeza tahap ujian yang dikenakan ke atasnya. Ini adalah selari dengan ayat pada surah al-Baqarah apabila Allah menyatakan;

Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya. [Al-Baqarah: 286]

Dari ayat tersebut dapat kita ketahui bahawa ujian yang dikenakan kepada setiap hamba, adalah bersesuaian dengan apa yang mampu ditanggungnya. Dan setiap orang pula berbeza tahap tanggungannya dan penerimaan mereka terhadap ujian serta dugaan.





Ujian yang diberikan juga adalah untuk mengukur tahap keimanan seorang hamba. Ini telah dibuktikan secara jelas berdasarkan ayat 2-3 surah al’-Ankabut;


Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam menyifatan bahawa ujian yang diberikan kepada kaum manusia adalah tanda kecintaan Allah kepada mereka. Dan semakin besar dugaan yang diberikan oleh Allah kepada manusia, menandakan besar juga pahala yang diperoleh. Ini sebagaimana hadith yang datang dari Anas bin Malik, yang menyatakan Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wassalam bersabda;

Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala’ yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha – dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah. [Riwayat al-Tirmidzi, al-Albani menyatakannya sebagai hasan dalam Sahih dan Dha’if Sunan al-Tirmidzi.]

Dan bersabarlah! Kerana Allah bersama-sama orang yang sabar!

Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar. [al-Baqarah: 153] .


Bacaan lanjut:http://rubbertapperz.blogspot.com/2011/10/ujian-dan-dugaan-tanda-allah-sayang.html