Friday, June 8, 2012

TIPS MENJADI LEBIH GEMBIRA



1. Belajar jadi pemaaf


Memaafkan orang lain dapat membersihkan hati daripada perasaan atau emosi negatif. Tindakan ini dapat meneutralkan fikiran negatif dalam diri kita.Perasaan sedih dan kecewa timbul disebabkan kita tidak memaafkan kesalahan diri sendiri dan orang lain. Belajar menjadi pemaaf dapat menarik ketenangan dalam diri kita.

2. Buang sikap risau

Sikap risau memberi kesan buruk kepada kesihatan dan juga akan mendatangkan masalah kepada kita. Risau membuatkan diri kita sedih, takut dan kecewa. Ada pendapat menyatakan, berenang dapat membuang sikap risau. Latih diri supaya mengawal sikap risau juga dapat membantu.

3. Melupakan kenangan pahit

Buang kenangan pahit dan fokus kepada masa depan, cita-cita, keluarga, kerjaya, kewangan, ilmu dan rakan-rakan. Alihkan perhatian kepada perkara lain yang lebih mendatangkan faedah untuk melupakan kenangan pahit secara perlahan-lahan.

4. Belajar bersyukur

Mengucapkan kalimah syukur sebanyak yang mungkin dan sertakan dengan keikhlasan. Semua kelebihan yang kita miliki hanya sementara dan setiap perkara buruk yang berlaku, mesti ada hikmah kebaikan disebaliknya.

5. Beribadat dan memohon daripada Allah s.w.t



"Ya Allah, sinarilah hati kami dengan petunjukMu,

sebagaimana Engkau telah menyinari bumi
dengan cahaya matahariMu,
dengan rahmatmu wahai Allah yang maha penyayang"

Wednesday, June 6, 2012

KARANGAN FAKTA UPSR

Karangan fakta ialah karangan tidak berformat. Ia memerlukan murid menulis tentang perkara yang benar-benar berlaku dalam bentuk karangan enam perenggan. Selalunya, soalan UPSR akan berkisar tentang perkara-perkara yang berlaku disekeliling murid seperti di sekolah, di rumah, tentang masyarakat dan isu semasa yang berkaitan.

Contoh soalan bertema perkara berkaitan sekolah:

1. Faedah menyertai aktiviti kokurikulum.
2. Kebaikan bersukan.
3. Kebaikan mengunjungi perpustakaan.
4. Cara-cara mematuhi disiplin.
5. Kebaikan belajar berkumpulan.
6. Kebaikan menyertai kelas tambahan di sekolah.
7. Cara-cara menghormati guru.
8. Kebaikan membawa bekalan dari rumah
9. Faedah membaca


Contoh soalan bertemakan perkara yang berlaku di rumah:
1. Cara-cara menghormati ibu bapa.

2. Kebaikan menonton televisyen.
3. Kebaikan beriadah dan bersukan.
4. Kepentingan menjaga kebersihan (diri atau persekitaran rumah)
5. Kebaikan menabung

Contoh soalan bertemakan isu masyarakat:
1. Kebaikan bergotong-royong.
2. Faedah membeli barangan buatan Malaysia.
3. Kebaikan melancong dalam negara.
4. Cara menjaga kesihatan
5. Cara mematuhi undang-undang jalan raya
----------------------------------------------------------------------------
 Tips menjawab soalan karangan fakta:

1. Jika memilih soalan ini, fikirkan dahulu sama ada anda tahu atau tidak tema yang dinyatakan dalam soalan.Jika tidak tahu, sila pilih soalan lain.

2. Wajib menulis rangka karangan supaya isi penting dan contoh tidak diulang-ulang.Rangka karangan juga memastikan karangan kamu lebih teratur dan lengkap.

3. Jika menulis karangan fakta, gunakan kata ganti nama diri 'kita' yang membawa maksud semua orang termasuk diri kita sendiri dan jangan sesekali menggunakan kata ganti nama diri 'saya'. Karangan fakta perlulah ditulis secara umum dan tidak menulis secara personal .

4. Karangan fakta kamu boleh dibahagi kepada 6 perenggan iaitu perenggan pertama pendahuluan, perenggan 2,3,4,dan 5 isi karangan dan perenggan keenam merupakan penutup.

5. Sentiasa ingat, jangan menulis satu ayat sahaja dalam satu perenggan. Kamu perlu menulis sekurang-kurangnya 2 atau 3 ayat dalam satu perenggan.

6. Perenggan isi karangan boleh dikembangkan dengan menggunakan persoalan untuk menjana idea. Jangan termenung dan membuang masa semasa peperiksaan. Bantu otak anda berfikir dengan soalan.

Gunakan teknik menyoal MASBBD.
MASBBD : Mengapa?, Apa?, Siapa?, Bila?, Bagaimana?, dan Di mana?

7. Setiap perenggan isi perlu ada 3 perkara iaitu :

       a. Ayat tentang isi penting. (Apa kebaikan kokurikulum?)
       b. Ayat penerangan isi. (Mengapa ia baik?)
       c. Ayat contoh. Beri 2 atau 3 contoh dan elakkan penggunaan perkataan 'dan lain-lain lagi'. (Apa?)
Contoh:
         Menyertai aktiviti kokurikulum dapat membantu kita mengisi masa lapang. Selalunya, aktiviti kokurikulum dilaksanakan pada waktu petang iaitu selepas sesi persekolahan. Masa lapang pada waktu ini dapat dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti menyertai pasukan pengakap atau kelab seni dan kebudayaan.

8. Kamu digalakkan menggunakan penanda wacana untuk menghubungkaitkan isi perenggan. Boleh menggunakan 2 atau 3 penanda wacana dalam karangan kamu seperti pada perenggan ketiga, keempat dan kelima.Ingat, jangan guna penanda wacana pada perenggan pertama dan kedua.

Formula mengingat penanda wacana: SSDA
SSDA : Selain itu, Seterusnya, Di samping itu, Akhir sekali.
--------------------------------------------------------------------
Contoh soalan:
Tulis karangan yang bertajuk 'Kebaikan Menyertai Aktiviti Kokurikulum'.




Teknik membina rangka karangan fakta:
1. Tulis definisi tentang tajuk.
Definisikan tema tajuk yang diberi iaitu perkataan kokurikulum secara umum sebagai pendahuluan karangan.
-------------------------------------------------------------------------------
2.Isi 1: Mengisi masa lapang (contoh : dilaksanakan pada waktu petang selepas masa persekolahan)
3.Isi 2: Merapatkan hubungan dengan rakan-rakan dan guru-guru (contoh: aktiviti secara berkumpulan )
4.Isi 3: Mengasah bakat (contoh :sukan/kepimpinan/kesenian)
5.Isi 4: Menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman (contoh: berkhemah dan berkawad)
-------------------------------------------------------------------------------
6. Penutup karangan.
Tulis rumusan tentang tajuk : (Kokurikulum baik atau tidak?) dan nasihat kepada murid-murid tentang kokurikulum.
-------------------------------------------------------------------------------

Contoh karangan:


           Kokurikulum ialah aktiviti yang dijalankan di luar bilik darjah. Aktiviti kokurikulum di sekolah termasuklah persatuan, unit beruniform dan permainan. Ia biasanya dijalankan pada waktu petang atau pada hari Sabtu.

         Menyertai aktiviti kokurikulum dapat membantu kita mengisi masa lapang. Selalunya, aktiviti kokurikulum dilaksanakan pada waktu petang iaitu selepas sesi persekolahan. Masa lapang pada waktu ini dapat dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti menyertai pasukan pengakap atau kelab seni dan kebudayaan.

          Selain itu, aktiviti kokurikulum juga dapat merapatkan hubungan kita dengan rakan-rakan dan guru-guru. Kebanyakan aktiviti yang dijalankan dalam persatuan, unit beruniform dan permainan dilakukan secara berkumpulan atau berpasukan. Aktiviti berpasukan seperti permainan bola baling atau bola jaring memerlukan kerjasama murid-murid untuk mencapai kemenangan.

           Di samping itu, aktiviti kokurikulum juga dapat mengasah bakat murid-murid. Melalui aktiviti yang dijalankan dalam kelab atau persatuan, kita dapat mencungkil bakat contohnya dalam bidang nyanyian, tarian, puisi atau seni lukis.

          Menyertai aktiviti kokurikulum juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan memberi pengalaman baharu kepada murid-murid. Banyak aktiviti yang mendatangkan faedah dalam pasukan pengakap seperti mempelajari ikatan untuk membina peralatan, pengalaman berkhemah atau melakukan khidmat masyarakat.

          Aktiviti kokurikulum sangat penting dan banyak memberi kebaikan kepada murid-murid. Kita perlu menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah untuk meningkatkan kemahiran dan mengasah bakat dalam pelbagai bidang.
----------------------------------------------------------------------------------

* Teknik menjawab soalan yang diterangkan di sini hanya menyatakan perkara-perkara penting dan asas yang sepatutnya ada semasa menjawab karangan fakta. Sekurang-kurangnya, dalam karangan fakta kamu mesti ada 4 isi penting berkaitan tema dalam soalan. Sekiranya kamu ada banyak pengetahuan dan contoh-contoh lain yang lebih baik, bolehlah dimasukkan dalam karangan kamu. Boleh juga selitkan peribahasa yang berkaitan jika mahir menggunakannya. Walaubagaimanapun, banyakkan membaca untuk menambah ilmu supaya karangan kamu lebih bernas. Kamu boleh membuat senarai tajuk dan menghafal isi-isi karangan fakta untuk memudahkan kamu bersedia sekiranya berjumpa dengan soalan tersebut dalam peperiksaan. Semoga tips di sini dapat membantu.
Semoga berjaya...

Segala yang betul dan baik datangnya daripada Allah s.w.t, manakala yang buruk datangnya daripada kesilapan saya sendiri. Wallaulam. -As

Saturday, June 2, 2012

MEMANCING IKAN DI SAWAH

Tahun ni aktiviti memancing ikan di tepi sawah bermula lagi. Selang dua tahun baharu ada semula ikan kat sawah depan rumah ni. Ini kali pertama saya tengok sendiri, sebab balik kampung sempena cuti sekolah. Selalunya tengok sawah dari jauh je. Paling banyak ikan puyu dan ada juga ikan haruan. Seronok tengok orang memancing apabila dapat ikan. Sawah yang diusahakan oleh syarikat swasta ni masih lagi hijau. Kalau padi sudah masak dan aktiviti menuai dijalankan menggunakan mesin nanti, air sawah akan dikeringkan. Ikan -ikan ni sama ada akan berkumpul dalam lopak air atau mati kena mesin menuai.
Yaya dan Aisyah
Bersungguh-sungguh Pn Asmah memancing ikan. Katanya untuk suka-suka je.Dapat ke tidak ikannya? Nampak macam kecik je ikan puyu tu. He..he..he...
Cantiknya pemandangan masa padi belum masak, hijau dari hujung sini, sampai ke hujung sana. Sekali-sekala balik kampung, baharulah kita dapat tengok pemandangan macam ni. Dah bertahun tak jejak kat sawah. Tahun ni sebab nak tengok ikan kat celah-celah rumpun padi tu, turun juga saya ke sini. Subahanallah, menakjubkan ciptaan Tuhan. Entah dari manalah datangnya ikan-ikan yang banyak tu ye? Puan Asmah kata, mungkin dari sungai tempat aliran air masuk ke sawah ni agaknya. Tapi...memang banyak la. Best je tengok.


Quotes to share:


Jika hidup kamu dalam kekosongan, dampingilah keesaan Tuhan…nescaya kamu akan beroleh ketenangan jua kedamaian…

When a miracle happens, even if not to you, its nature is to naturally expand. You can almost feel the warmth on your face - Hugh Elliott

TIPS MENJAWAB SOALAN KARANGAN SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI UPSR

Soalan 2:
Kamu telah mengikuti lawatan ke suatu tempat yang menarik.
Tulis sepucuk surat kepada sahabat kamu untuk menceritakan pengalaman kamu mengikuti lawatan.

Teknik menjawab:
Baca soalan dan cari kata kunci yang menunjukkan format. Contohnya dalam soalan ini, terdapat 2 ayat. Ayat pertama merupakan maklumat, manakala ayat kedua merupakan arahan. Dalam ayat kedua, terdapat kata kunci "tulis sepucuk surat kepada sahabat kamu".
Surat kiriman ada 2 jenis iaitu surat kiriman rasmi dan surat kiriman tidak rasmi. Jika surat dikirim kepada sahabat atau ahli keluarga, mestilah menggunakan format surat kiriman tidak rasmi.

Contoh kesalahan menjawab soalan:


Komen:
1.Karangan tidak mengikut kehendak soalan. Sepatutnya format surat kiriman tidak rasmi.
2. Semua cerita dalam satu perenggan sahaja. Sepatutnya pecahkan dalam 6 perenggan.
3. Banyak kesalahan struktur ayat ,penggunaan perkataan, dan tanda baca.
4. Isi karangan masih ada yang berkaitan dengan tema soalan.
5. Pencapaian tahap minimum.

Tips peperiksaan:
1. Kalau tak tahu jawab soalan surat kiriman tidak rasmi ni, pilih soalan lain yang lebih mudah.Contohnya soalan nombor 3, format karangan keperihalan.

Soalan 3:
Semasa cuti persekolahan baru-baru ini, kamu dan keluarga telah pulang ke kampung. Banyak pengalaman menarik yang telah kamu peroleh semasa berada di sana.Ceritakan pengalaman kamu itu.

2. Selepas siap menulis karangan, tolong semak dengan membaca semula soalan dan jawapan kamu. Betulkan kesalahan dari segi format, struktur ayat, kosa kata, tanda baca dan ejaan.
3. Pastikan tulisan kamu kemas dan boleh dibaca oleh pemeriksa. Jangan buat tulisan seperti cakar ayam.
4. Ingat teknik menjawab yang cikgu ajar. Semasa membaca dan memilih soalan, cari dan bulatkan kata kunci untuk mengetahui format karangan.
5. Jangan lupa buat rangka karangan dahulu sebelum mula menulis karangan.
6. Lain kali buat ulangkaji sebelum peperiksaan ye. Jangan malas....
7. Format karangan mesti dihafal dan bukan sekadar faham sahaja.
8. Beri perhatian semasa guru mengajar dan buat banyak latihan.
9. Jika tidak faham, cepat-cepat tanya cikgu. Jangan duduk diam-diam dan berpura-pura faham. Nanti kamu yang rugi.

Cara membuat rangka karangan:

Cari ruang di bawah soalan untuk membuat rangka karangan.Mulakan dengan menulis 1,2,3,4,5 dan 6 yang mewakili perenggan dalam surat kiriman tidak rasmi kamu.

1. Kata pendahuluan surat ( Menemui.../Kehadapan...) dan bertanya khabar.

2. Tujuan menulis surat. (Mengapa?)

3. Isi 1 : Persiapan sebelum sampai ke tempat lawatan. (Siapa? Di mana? Bila?)

4.Isi 2 :Pengalaman semasa berada di tempat lawatan.(Apa? Siapa? Mengapa? Bagaimana?)

5.Isi 3 : Peristiwa menarik yang berlaku semasa lawatan dan persiapan untuk pulang.

6. Penutup surat : harapan kepada penerima . Sekian, terima kasih.

* Setiap guru ada tips dan teknik menjawab soalan yang berbeza-beza. Tepuk dada, tanya selera. Gunakan teknik menjawab yang kamu faham dan mahir melaksanakannya. Walaubagaimanapun, latih diri kamu untuk menjawab secara bijak supaya dapat kejayaan cemerlang dalam UPSR. Wallahualam.-As
Quotes to share:

*Berusahalah dengan ikhlas tanpa memikirkan balasan semata-mata, kerana semakin tinggi keikhlasan di dalam diri, semakin tinggilah balasan baik yang akan diperolehi dalam keadaan sedar atau tidak.

*Orang yang cemerlang melihat setiap halangan sebagai peluang untuk mengasah potensi, manakala orang yang tidak cemerlang menganggap setiap halangan sebagai alasan yang menyebabkan kemundurannya.

*Kejayaan adalah tangga yang tidak dapat anda panjat dengan tangan di dalam poket.
-virtualfriends.net