About Me

My photo
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ “Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari segala syaitan, binatang yang berbisa dan pandangan mata yang jahat.” Blog ni saya jadikan sebagai catatan perkara menarik yang berlaku dalam aktiviti harian saya. Kebanyakan gambar dan maklumat adalah hak milik saya sendiri. Mana yang baik jadikan teladan, buruk jadikan sempadan.

Wednesday, June 6, 2012

KARANGAN FAKTA UPSR

Karangan fakta ialah karangan tidak berformat. Ia memerlukan murid menulis tentang perkara yang benar-benar berlaku dalam bentuk karangan enam perenggan. Selalunya, soalan UPSR akan berkisar tentang perkara-perkara yang berlaku disekeliling murid seperti di sekolah, di rumah, tentang masyarakat dan isu semasa yang berkaitan.

Contoh soalan bertema perkara berkaitan sekolah:

1. Faedah menyertai aktiviti kokurikulum.
2. Kebaikan bersukan.
3. Kebaikan mengunjungi perpustakaan.
4. Cara-cara mematuhi disiplin.
5. Kebaikan belajar berkumpulan.
6. Kebaikan menyertai kelas tambahan di sekolah.
7. Cara-cara menghormati guru.
8. Kebaikan membawa bekalan dari rumah
9. Faedah membaca


Contoh soalan bertemakan perkara yang berlaku di rumah:
1. Cara-cara menghormati ibu bapa.

2. Kebaikan menonton televisyen.
3. Kebaikan beriadah dan bersukan.
4. Kepentingan menjaga kebersihan (diri atau persekitaran rumah)
5. Kebaikan menabung

Contoh soalan bertemakan isu masyarakat:
1. Kebaikan bergotong-royong.
2. Faedah membeli barangan buatan Malaysia.
3. Kebaikan melancong dalam negara.
4. Cara menjaga kesihatan
5. Cara mematuhi undang-undang jalan raya
----------------------------------------------------------------------------
 Tips menjawab soalan karangan fakta:

1. Jika memilih soalan ini, fikirkan dahulu sama ada anda tahu atau tidak tema yang dinyatakan dalam soalan.Jika tidak tahu, sila pilih soalan lain.

2. Wajib menulis rangka karangan supaya isi penting dan contoh tidak diulang-ulang.Rangka karangan juga memastikan karangan kamu lebih teratur dan lengkap.

3. Jika menulis karangan fakta, gunakan kata ganti nama diri 'kita' yang membawa maksud semua orang termasuk diri kita sendiri dan jangan sesekali menggunakan kata ganti nama diri 'saya'. Karangan fakta perlulah ditulis secara umum dan tidak menulis secara personal .

4. Karangan fakta kamu boleh dibahagi kepada 6 perenggan iaitu perenggan pertama pendahuluan, perenggan 2,3,4,dan 5 isi karangan dan perenggan keenam merupakan penutup.

5. Sentiasa ingat, jangan menulis satu ayat sahaja dalam satu perenggan. Kamu perlu menulis sekurang-kurangnya 2 atau 3 ayat dalam satu perenggan.

6. Perenggan isi karangan boleh dikembangkan dengan menggunakan persoalan untuk menjana idea. Jangan termenung dan membuang masa semasa peperiksaan. Bantu otak anda berfikir dengan soalan.

Gunakan teknik menyoal MASBBD.
MASBBD : Mengapa?, Apa?, Siapa?, Bila?, Bagaimana?, dan Di mana?

7. Setiap perenggan isi perlu ada 3 perkara iaitu :

       a. Ayat tentang isi penting. (Apa kebaikan kokurikulum?)
       b. Ayat penerangan isi. (Mengapa ia baik?)
       c. Ayat contoh. Beri 2 atau 3 contoh dan elakkan penggunaan perkataan 'dan lain-lain lagi'. (Apa?)
Contoh:
         Menyertai aktiviti kokurikulum dapat membantu kita mengisi masa lapang. Selalunya, aktiviti kokurikulum dilaksanakan pada waktu petang iaitu selepas sesi persekolahan. Masa lapang pada waktu ini dapat dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti menyertai pasukan pengakap atau kelab seni dan kebudayaan.

8. Kamu digalakkan menggunakan penanda wacana untuk menghubungkaitkan isi perenggan. Boleh menggunakan 2 atau 3 penanda wacana dalam karangan kamu seperti pada perenggan ketiga, keempat dan kelima.Ingat, jangan guna penanda wacana pada perenggan pertama dan kedua.

Formula mengingat penanda wacana: SSDA
SSDA : Selain itu, Seterusnya, Di samping itu, Akhir sekali.
--------------------------------------------------------------------
Contoh soalan:
Tulis karangan yang bertajuk 'Kebaikan Menyertai Aktiviti Kokurikulum'.




Teknik membina rangka karangan fakta:
1. Tulis definisi tentang tajuk.
Definisikan tema tajuk yang diberi iaitu perkataan kokurikulum secara umum sebagai pendahuluan karangan.
-------------------------------------------------------------------------------
2.Isi 1: Mengisi masa lapang (contoh : dilaksanakan pada waktu petang selepas masa persekolahan)
3.Isi 2: Merapatkan hubungan dengan rakan-rakan dan guru-guru (contoh: aktiviti secara berkumpulan )
4.Isi 3: Mengasah bakat (contoh :sukan/kepimpinan/kesenian)
5.Isi 4: Menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman (contoh: berkhemah dan berkawad)
-------------------------------------------------------------------------------
6. Penutup karangan.
Tulis rumusan tentang tajuk : (Kokurikulum baik atau tidak?) dan nasihat kepada murid-murid tentang kokurikulum.
-------------------------------------------------------------------------------

Contoh karangan:


           Kokurikulum ialah aktiviti yang dijalankan di luar bilik darjah. Aktiviti kokurikulum di sekolah termasuklah persatuan, unit beruniform dan permainan. Ia biasanya dijalankan pada waktu petang atau pada hari Sabtu.

         Menyertai aktiviti kokurikulum dapat membantu kita mengisi masa lapang. Selalunya, aktiviti kokurikulum dilaksanakan pada waktu petang iaitu selepas sesi persekolahan. Masa lapang pada waktu ini dapat dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti menyertai pasukan pengakap atau kelab seni dan kebudayaan.

          Selain itu, aktiviti kokurikulum juga dapat merapatkan hubungan kita dengan rakan-rakan dan guru-guru. Kebanyakan aktiviti yang dijalankan dalam persatuan, unit beruniform dan permainan dilakukan secara berkumpulan atau berpasukan. Aktiviti berpasukan seperti permainan bola baling atau bola jaring memerlukan kerjasama murid-murid untuk mencapai kemenangan.

           Di samping itu, aktiviti kokurikulum juga dapat mengasah bakat murid-murid. Melalui aktiviti yang dijalankan dalam kelab atau persatuan, kita dapat mencungkil bakat contohnya dalam bidang nyanyian, tarian, puisi atau seni lukis.

          Menyertai aktiviti kokurikulum juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan memberi pengalaman baharu kepada murid-murid. Banyak aktiviti yang mendatangkan faedah dalam pasukan pengakap seperti mempelajari ikatan untuk membina peralatan, pengalaman berkhemah atau melakukan khidmat masyarakat.

          Aktiviti kokurikulum sangat penting dan banyak memberi kebaikan kepada murid-murid. Kita perlu menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah untuk meningkatkan kemahiran dan mengasah bakat dalam pelbagai bidang.
----------------------------------------------------------------------------------

* Teknik menjawab soalan yang diterangkan di sini hanya menyatakan perkara-perkara penting dan asas yang sepatutnya ada semasa menjawab karangan fakta. Sekurang-kurangnya, dalam karangan fakta kamu mesti ada 4 isi penting berkaitan tema dalam soalan. Sekiranya kamu ada banyak pengetahuan dan contoh-contoh lain yang lebih baik, bolehlah dimasukkan dalam karangan kamu. Boleh juga selitkan peribahasa yang berkaitan jika mahir menggunakannya. Walaubagaimanapun, banyakkan membaca untuk menambah ilmu supaya karangan kamu lebih bernas. Kamu boleh membuat senarai tajuk dan menghafal isi-isi karangan fakta untuk memudahkan kamu bersedia sekiranya berjumpa dengan soalan tersebut dalam peperiksaan. Semoga tips di sini dapat membantu.
Semoga berjaya...

Segala yang betul dan baik datangnya daripada Allah s.w.t, manakala yang buruk datangnya daripada kesilapan saya sendiri. Wallaulam. -As

7 comments: