Tuesday, October 2, 2012

KARANGAN 6 BESTARI


Tiga karangan ni telah dipilih secara undian dalam kelas 6 Bestari semasa aktiviti selepas UPSR.
Soalannya:  Tulis sebuah karangan tentang sebatang pokok yang menjadi kenangan kamu di SKMC. Akhiri karangan tersebut dengan ayat di bawah:

 Pokok itu memang meninggalkan banyak memori  kepadaku. Aku tidak akan dapat melupakannya sampai bila-bila.

Pokok Ara Pembawa Malang
 oleh: Masira bt Rosli
            Terdapat sebatang pokok ara di sebelah kelas 4 Bestari di sekolahku. Aku dan rakanku selalu bermain di situ. Pokok  tersebut besar,aneh dan menyeramkan. Semua rakanku tidak suka akan pokok itu kecuali aku dan sahabatku, Farhana.
            Kami selalu bercerita tentang pokok itu. Kami juga datang ke sekolah awal semata-mata untuk bercerita tentang pokok itu. Tiba-tiba, Farhana berkata bahawa dia pernah melihat  satu lembaga putih di situ. Namun, aku tidak mempercayainya. Bagi aku, itu perkara yang mengarut.
            Aku pun mengajak Farhana untuk bermain di sana, Farhana bersetuju dengan cadanganku. Aku gembira kerana dia bersetuju untuk bermain di sana. Aku berhajat untuk mencari bukti kepada aduan yang diberi oleh Farhana. Kami bermain sorok-sorok di kawasan pokok ara itu.
            Setelah 10 minit aku mencarinya, aku ternampak bayang-bayang Farhana di pokok ara itu. Aku berlari ke arahnya. Tiba-tiba, aku tersandung pada banir pokok itu lalu tertolak Farhana. Dia sedang memegang akar pada dahan pokok itu. Akar pada dahan itu terputus.
            Mukanya pucat secara tiba-tiba. Dia pun pergi ke tandas untuk melihat wajahnya. Dia menjerit apabila melihat satu lembaga yang hodoh berjalan di belakangnya. Tidak lama kemudian,dia pun pengsan. Aku pun memanggil cikgu untuk membawanya ke klinik yang terdekat.
            Tiga hari kemudian, dia berpindah ke sekolah lain. Tiada siapa yang mengetahui insiden ini kecuali aku dan ibu bapa Farhana. Bagi aku, pokok itu membawa malapetaka dan musibah. Setiap kali,aku merindui Farhana atau bersedih, aku akan pergi ke pokok misteri itu. Pokok itu memang meninggalkan banyak memori  kepadaku. Aku tidak akan dapat melupakannya sampai bila-bila.


Kawanku, Mesra
oleh : Kimberly Chuah Ching Li
 
         Terdapat sebatang pokok di padang sekolahku. Aku tidak tahu nama atau jenis pokok itu jadi aku menamakannya Mesra kerana banyak burung hinggap atas dahannya. Selain itu, ia juga mengingatkan aku tentang kawan baik aku, Liyana yang sering dikelilingi oleh kawan-kawanku yang lain. Sikap Liyana yang baik hati dan peramah disenangi oleh semua orang di sekolah aku.
          Walaupun aku dan Liyana kawan baik, kami jarang dapat meluangkan masa bersama kerana Liyana sibuk dengan latihan. Dia seorang yang aktif serta berkebolehan dalam bidang sukan. Oleh itu, dia akan mewakili sekolah dalam pelbagai acara sukan. Latihannya bermula pada waktu petang iaitu selepas waktu persekolahan. Aku terpaksa menunggunya kerana kami berjalan kaki bersama-sama untuk pulang ke rumah. Sementara menunggu, aku akan duduk di pangkal Mesra dan menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh cikgu.
         Pada suatu hari, aku menulis karangan pada sehelai kertas sepertimana yang disuruh oleh guru Bahasa Malaysia aku. Tiba-tiba, angin mula bertiup kencang dan telah menerbangkan kertasku. Setelah penat aku mengejarnya, angin berhenti bertiup dan kertas aku tersangkut pada dahan Mesra. Tanpa melengahkan masa lagi, aku segera memanjat Mesra tanpa berfikir tentang keselamatanku. Setelah aku mendapatkan kertas itu, tiba-tiba dahan yang sedang menampung berat badanku patah. Aku jatuh tertiarap pada timbunan daun dan bersyukur kerana tidak tercedera.
          Aku cuba untuk berdiri dan terdengar suara Liyana sedang memanggil namaku. Aku ternampak Liyana berlari ke arahku dengan muka yang cemas. Rupa-rupanya, Liyana ternampak aku terjatuh dan risau jika aku tercedera. Aku menberitahunya bahawa aku selamat dan dia kembali riang. Aku bertanya kepadanya mengapa dia berada di sini sedangkan dia sepatutnya berlatih untuk mewakili sekolah dalam acara olahraga minggu hadapan. Dia memberitahu aku bahawa guru yang bertanggungjawab untuk melatihnya terpaksa pulang ke rumah awal kerana ada hal penting.
         Aku dan Liyana bermain sorok-sorok kerana sudah sekian lama kami tidak bermain bersama-sama. Tiba-tiba, hari mula hujan dan kami berteduh di bawah Mesra. Kami duduk di pangkal Mesra dan tiba-tiba aku merasa seperti ada sesuatu yang sedang memanjat belakangku. Pada mulanya, aku ingat Liyana sedang mempermainkan aku, tetapi tiba-tiba dia menjerit. Aku menjadi cemas dan bertanya kenapa. Tanpa membuang masa, Liyana menggosok bajuku kerana koloni semut api sedang memanjat belakang aku. Rupa-rupanya, aku terduduk di atas sarang semut api. Aku bernasib baik kerana tidak digigit  semut-semut api itu.
               Latihan sukan sekolahku bermula dan menjalani latihan berhampiran Mesra. Aku ternampak sekumpulan murid sedang memijak dan mencabut rumput dan bunga-bunga yang ditanam disekeliling Mesra. Perbuatan itu bukan sahaja dilarang malah akan menjejaskan kecantikan alam sekitar. Aku sebagai seorang pengawas yang bertanggungjawab telah melaporkan perbuatan mereka kepada guru disiplin. Selepas hari itu, tidak ada sesiapa lagi yang berani mencabut rumput dan bunga-bunga di kawasan sekolah.
         Hari sukan diadakan dan semua warga sekolah serta ibu bapa murid-murid dijemput hadir untuk memeriahkan suasana. Malangnya, terdapat orang yang tidak bertanggungjawab dan membuang sampah merata-rata. Padang kami menjadi sangat kotor dan tidak sedap mata memandang. Oleh itu, cikgu mengadakan gotong-royong untuk menbersihkan padang. Hanya murid sesi pagi sahaja yang terlibat. Kami telah dibahagikan kepada 20 kumpulan dan dalam satu kumpulan terdapat 5 orang murid. Aku dan Liyana berada dalam kumpulan yang sama dan kami telah ditugaskan untuk membersihkan kawasan di sekitar Mesra. Setelah selesai menjalankan aktiviti gotong-royong, kami pulang ke rumah masing-masing. Aku berasa sungguh penat tetapi  berbaloi kerana Mesra telah kembali kelihatan indah.
         Pada hari itu, aku dan Liyana telah berjanji untuk kekal menjadi kawan baik selama-lamanya. Kami telah menulis nama kami serta nama ‘MESRA’ pada batang Mesra. Hari itu sungguh bermakna bagi aku. Mesra bagaikan kawan aku, walaupun ia pelik kerana Mesra hanyalah sebatang pokok. Mesra memang telah memberi banyak memori kepadaku. Aku tidak akan melupakan Mesra sampai bila-bila.     
                           
                         POKOK BERPUAKA SENJA
                    oleh : Syahirah bt Sohaimi
           Pada suatu hari, aku dan rakan-rakan pulang lewat kerana kami ingin belajar di sekolah. Guruku menyuruh kami membuat catatan tentang sejarah tentang pokok di sekolah.

           Aku dan rakan-rakanku berjalan untuk mencari pokok yang sesuai untuk tugasan kami. Tiba-tiba, aku melihat sebatang pokok yang menarik perhatianku. Aku dan rakan-rakanku bergegas menuju ke arah pokok itu.

           Setibanya kami di sana, kami terus memandang ke arah pokok itu. Pokok itu terlalu besar. Ia mempunyai akar yang panjang seperti rambut pada dahannya. Pokok itu ialah pokok ara. Pokok itu sudah lama tumbuh di situ. Ia berada di sebelah kelas 4 Bestari.

          Aku menarik akar yang panjang itu. Tiba-tiba, angin bertiup dengan kencang. Aku berasa badanku seram sejuk. Kakiku menggeletar. Aku merasakan seperti ada yang tidak kena dengan pokok itu. Tiba-tiba aku merasa telingaku bagai di tiup seseorang. Apabila aku berpaling ke belakang, tiada orang. Aku dan rakan-rakanku lari lintang-pukang.

         Keesokan harinya,aku mendengar cerita bahawa pokok itu pernah dijadikan tempat orang cina bersembahyang. Menurut kawanku lagi,pokok itu mempunyai penunggu. Aku mulai resah. Aku bertekad tidak akan ke sana lagi.

        Pokok itu memang meninggalkan banyak memori kepadaku. Aku tidak akan dapat melupakannya sampai bila-bila.

No comments:

Post a Comment