About Me

My photo
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ “Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari segala syaitan, binatang yang berbisa dan pandangan mata yang jahat.” Blog ni saya jadikan sebagai catatan perkara menarik yang berlaku dalam aktiviti harian saya. Kebanyakan gambar dan maklumat adalah hak milik saya sendiri. Mana yang baik jadikan teladan, buruk jadikan sempadan.

Saturday, June 2, 2012

TIPS MENJAWAB SOALAN KARANGAN SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI UPSR

Soalan 2:
Kamu telah mengikuti lawatan ke suatu tempat yang menarik.
Tulis sepucuk surat kepada sahabat kamu untuk menceritakan pengalaman kamu mengikuti lawatan.

Teknik menjawab:
Baca soalan dan cari kata kunci yang menunjukkan format. Contohnya dalam soalan ini, terdapat 2 ayat. Ayat pertama merupakan maklumat, manakala ayat kedua merupakan arahan. Dalam ayat kedua, terdapat kata kunci "tulis sepucuk surat kepada sahabat kamu".
Surat kiriman ada 2 jenis iaitu surat kiriman rasmi dan surat kiriman tidak rasmi. Jika surat dikirim kepada sahabat atau ahli keluarga, mestilah menggunakan format surat kiriman tidak rasmi.

Contoh kesalahan menjawab soalan:


Komen:
1.Karangan tidak mengikut kehendak soalan. Sepatutnya format surat kiriman tidak rasmi.
2. Semua cerita dalam satu perenggan sahaja. Sepatutnya pecahkan dalam 6 perenggan.
3. Banyak kesalahan struktur ayat ,penggunaan perkataan, dan tanda baca.
4. Isi karangan masih ada yang berkaitan dengan tema soalan.
5. Pencapaian tahap minimum.

Tips peperiksaan:
1. Kalau tak tahu jawab soalan surat kiriman tidak rasmi ni, pilih soalan lain yang lebih mudah.Contohnya soalan nombor 3, format karangan keperihalan.

Soalan 3:
Semasa cuti persekolahan baru-baru ini, kamu dan keluarga telah pulang ke kampung. Banyak pengalaman menarik yang telah kamu peroleh semasa berada di sana.Ceritakan pengalaman kamu itu.

2. Selepas siap menulis karangan, tolong semak dengan membaca semula soalan dan jawapan kamu. Betulkan kesalahan dari segi format, struktur ayat, kosa kata, tanda baca dan ejaan.
3. Pastikan tulisan kamu kemas dan boleh dibaca oleh pemeriksa. Jangan buat tulisan seperti cakar ayam.
4. Ingat teknik menjawab yang cikgu ajar. Semasa membaca dan memilih soalan, cari dan bulatkan kata kunci untuk mengetahui format karangan.
5. Jangan lupa buat rangka karangan dahulu sebelum mula menulis karangan.
6. Lain kali buat ulangkaji sebelum peperiksaan ye. Jangan malas....
7. Format karangan mesti dihafal dan bukan sekadar faham sahaja.
8. Beri perhatian semasa guru mengajar dan buat banyak latihan.
9. Jika tidak faham, cepat-cepat tanya cikgu. Jangan duduk diam-diam dan berpura-pura faham. Nanti kamu yang rugi.

Cara membuat rangka karangan:

Cari ruang di bawah soalan untuk membuat rangka karangan.Mulakan dengan menulis 1,2,3,4,5 dan 6 yang mewakili perenggan dalam surat kiriman tidak rasmi kamu.

1. Kata pendahuluan surat ( Menemui.../Kehadapan...) dan bertanya khabar.

2. Tujuan menulis surat. (Mengapa?)

3. Isi 1 : Persiapan sebelum sampai ke tempat lawatan. (Siapa? Di mana? Bila?)

4.Isi 2 :Pengalaman semasa berada di tempat lawatan.(Apa? Siapa? Mengapa? Bagaimana?)

5.Isi 3 : Peristiwa menarik yang berlaku semasa lawatan dan persiapan untuk pulang.

6. Penutup surat : harapan kepada penerima . Sekian, terima kasih.

* Setiap guru ada tips dan teknik menjawab soalan yang berbeza-beza. Tepuk dada, tanya selera. Gunakan teknik menjawab yang kamu faham dan mahir melaksanakannya. Walaubagaimanapun, latih diri kamu untuk menjawab secara bijak supaya dapat kejayaan cemerlang dalam UPSR. Wallahualam.-As
Quotes to share:

*Berusahalah dengan ikhlas tanpa memikirkan balasan semata-mata, kerana semakin tinggi keikhlasan di dalam diri, semakin tinggilah balasan baik yang akan diperolehi dalam keadaan sedar atau tidak.

*Orang yang cemerlang melihat setiap halangan sebagai peluang untuk mengasah potensi, manakala orang yang tidak cemerlang menganggap setiap halangan sebagai alasan yang menyebabkan kemundurannya.

*Kejayaan adalah tangga yang tidak dapat anda panjat dengan tangan di dalam poket.
-virtualfriends.net

No comments:

Post a Comment