"Kenapa buku yang dihantar tidak cukup 20 buah? Siapa yang tak siap kerja rumah? Sila angkat tangan. Jujur!" tanya Cikgu Ana.
Cikgu Ana menunggu beberapa minit, namun tiada sesiapa yang mengaku.
"Cikgu, kita panggil nama seorang-seorang cikgu," cadang Chong ketua kelas 5 Cemerlang.
"Baiklah, kalau tak mengaku juga, cikgu panggil nama. Kalau dapat pesalah tu...kenalah kamu. Kenapa nak mengaku kesalahan pun susah sangat? Perlu buang masa cikgu dan kawan-kawan pulak?" marah Cikgu Ana lagi kerana kesal dengan sikap muridnya itu.
"Semua berdiri. Duduk jika nama kamu dipanggil," kata Cikgu Ana.
Akhirnya, hanya Suman seorang sahaja yang berdiri. Dialah murid yang tidak menghantar kerja rumah tersebut.
"Suman, kamu tidak hantar buku latihan?" tanya Cikgu Ana dengan nada marah.
"Saya, cikgu.." jawab Suman, murid 5 Cemerlang dengan muka bersalah.
"Kenapa kamu tidak siap? Bukankah kamu sudah berjanji dengan cikgu semalam untuk siapkan dan hantar hari ini?" marah Cikgu Ana.
Suman membatukan diri dan tidak menjawab pertanyaan gurunya. Dia hanya tunduk memandang kasutnya yang comot dengan kesan kotoran.
"Kamu dengar tak? Cikgu tanya, kenapa tak siap kerja rumah?" tanya cikgu dengan nada yang lebih marah lagi.
Walaupun soalan tersebut diajukan berulang kali, namun Suman masih mendiamkan diri dan masih tidak memberikan sebarang alasan. Ini membuatkan cikgu Ana menjadi semakin berang. Akhirnya Suman didenda berdiri dan disuruh menyiapkan kerja tersebut setelah diberi amaran. Namanya juga dicatat dalam buku kesalahan disiplin kelas. Suman melaksanakan arahan yang diberi dengan rasa tidak puas hati terhadap gurunya. Timbul rasa benci kepada guru dan matapelajaran tersebut kerana dia menganggap Cikgu Ana tidak memahami masalahnya.
Situasi seperti cerita di atas sering berlaku di dalam kelas. Timbul pertanyaan dalam diri saya sebagai seorang guru: Mengapa murid seperti Suman tidak memberi alasan atau membela diri apabila telah melakukan kesalahan atau melanggar peraturan?. Jauh sekali untuk meminta maaf daripada gurunya. Bagaimana pula reaksi guru ketika situasi seperti di atas berlaku?
Isu ini saya timbulkan semasa sesi perbincangan di dalam kelas Pendidikan Moral. Beberapa orang murid memberi alasan bahawa mereka takut, rasa bersalah, malu dan sebagainya. Apabila ditanya pernahkah kamu berfikir seperti Suman, yang menganggap bahawa diri tidak disayangi ibu bapa, tidak disukai guru-guru dan dibenci kawan-kawan. Majoriti murid-murid mengakui bahawa mereka sering mempunyai perasaan seperti itu kerana sering dimarahi.
"What you give, you get back" Ungkapan ini yang mampu saya keluarkan. Jika kita mahu diri disayangi, kita perlu tahu cara untuk mendapatkannya. Saya selalu berpesan kepada murid saya, memang susah untuk mempertikaikan atau mengubah sikap orang lain. Lebih mudah jika kita ubah sikap kita sendiri dan betulkan kesalahan kita. Jika kita beri positif, kita akan dapat positif. Tetapi, jika sikap kita negatif, sudah tentulah reaksi orang lain terhadap kita juga negatif.
HAPPY STUDENT = HAPPY TEACHER |
Namun, seorang guru berperanan untuk membentuk sikap positif dalam kalangan murid-muridnya. Oleh itu, sudah menjadi tugas guru memberi teguran. Fahamilah wahai anak-anak muridku, teguran cikgu itu kerana kami sayangkan kamu.....
Mendidik murid untuk mengamalkan nilai murni memang susah. Namun, sebagai seorang guru, kita juga manusia biasa. Saya rasa bertuah kerana di samping memberi nasihat kepada murid-murid, saya juga dapat mengingatkan diri sendiri untuk mengamalkan nilai murni dalam kehidupan.Mungkin itulah salah satu hikmah menjadi seorang guru.
Saya tertarik dengan ungkapan yang saya dengar daripada seorang pembaca berita TV9 (tapi tak ingat namanya) iaitu,
"Buatlah baik dalam kehidupan kita, walaupun sebesar biji sawi".
Website kat bawah ni ada pendapat tentang guru:
http://penwithavoice.blogspot.com/2010/10/tribute-to-teachers.html
No comments:
Post a Comment